Saturday, September 8, 2012

Anak Jantan - catatan nuzul Qur'an, 2008 (17 Ramadhan,1429H)

Tuu dia.

Saya tak pernah ingat saorang anak Melayu sabelum ini yang sanggup mempertahankan pendiriannya sehingga meletak jawatan MENTERI. Yang menolak untuk dilantik Timbalan Menteri ada. Kalau anda tahu dan ingat, perbetulkan saya.

Kok mana-mana pun, anak Kelantan juga yang jantan. Memang orang Kelantan merdeka. Tak boleh dijajah , baik rohani atau jasmani, pendirian, ekonomi, politik, dan sosial (cuma akhir-akhir ini punah sikit dilanda arus glokalisasi)

Rupanya kalau orang merdeka payah nak cucuk hidung. Begitulah. Dah aku kata A, A lah, aku kata B, B lah. Aku ada perinsip mengapa aku kata begitu. Bukan aku kata dalam keadaan tidak sedarkan diri, mengigau atau mabok arak, minuman najis haram kencing syaitan itu. Bukan juga untuk test market. Tak ada. Orang yang buat apa-apa dalam keadaan dipengaruhi dadah, alkohol atau dalam keadaan kehilangan akal tak boleh dibuat kira. Begitu juga orang yang buat apa-apa untuk test market, itu kodi (barang bundle). Aku barang gudang (baca: tesco?). Bukan main-main.

Saya nak tahniah, terima kasih dan syabas kepada Dato' Zaid Ibrahim. Tahniah dan terima kasih sebab sebahagian dari kerja Dato' itu saya kira ada sumbangan kepada Islam. Bahagian menentang kezaliman itu tentu kerja Islam. ISA zalim dalam semua perkiraan, kemanusiaan atau keagamaan. Sebahagian lagi saya nak ucap syabas. Meletak jawatan Menteri tak mampu dibuat oleh orang lekeh-lekeh. Super extra heavy weight kerja tu. Tambahan satelah dipujuk oleh No.1.

Boleh jadi ini perintis kepada keluarnya bangsa Melayu dari meneruskan amalan hidup yang terlalu apologetik, ambil hati, jaga perasaan, berlembut dalam perkara yang perlu dikerasi. Sudah lama kita dengar orang kata, 'memang parti x tak mampu memerintah, gagal membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat sebagaimana sepatutnya kita menikmati dalam negara semakmur Malaysia ini, tapi kita tak ada pilihan.... siapa yang naik jadi pemimpin pun, akan jadi begitu'. Aduh sakit dan azab sungguh kenyataan tu. Sehingga kini, itulah anutan sebahagian dari manusia warga Malaysia.

Satu saja sebabnya. Kita tidak mahu melaksanakan apa yang diperintah oleh agama kita. Bukankah Islam itu syumul, lengkap dan sempurna.

Apa kata kita ambil berkongsi sepenuhnya semangat Dato', kita laksanakan apa yang diperintah oleh Islam, tinggal yang dilarang, tengok, jadi atau tidak. Kalu payah pun , dapat redha Allah dan pahala, kalau berjaya, pahala dapat, keredhaan Allah dan keredhaan manusia pun dapat. Tak payah sabenarnya.

Pengalaman yang dilalui oleh Kerajaan Negeri Kelantan adalah satu iktibar semasa, dalil hidup bukan dari kitab tanpa kulit dengan helaian keperangan yang sudah loose (kitab tua lah tuu). Ditahun-tahun pertengahan 90'an, semasa Kerajaan Negeri mengistiharkan untuk melaksanakan undang-undang Hudud di Kelantan YAB MB Kelantan dikunjung oleh beberapa ketua non-muslim utuk menyatakan bantahan mereka terhadap cadangan tersebut.

Kehadhiran rombongan disambut oleh Pegawai Khas MB masa itu (kebetulannya saya, '95-'97) dan salepas bertanyakan tujuan dan berbincang rengkas, saya masuk kebilik MB memberitahu kedatangan tetamu dengan tujuan mereka sekali. MB menjemput dan saya juga bersama dalam perbincangan mesra diantara ketua-ketua agama Budha, Hindu, Sikh dan Keristian yang seramai kalau tak silap 5 atau 6 orang itu dengan YAB MB.

MB memulakan dengan mengucapkan selamat datang dan berbanyak terima kasih kerana sudi datang sendiri menemui beliau, bukan hanya setakat dengar cakap-cakap apa yang diperkatakan oleh orang, yang tidak mempunyai maklumat yang sabenarnya, atau mempunyai niat jahat disebabkan kejahilan mereka. (Pada masa itu, ada saorang pemimpin berugama Islam dari BN yang memperli cadangan Kerajaan Kelantan itu dengan katanya, kalau nak makan sup tangan, pergilah ke Kelantan. Dia dah mati, semuga Allah mengampuni beliau).

Satelah berkenalan, MB meneruskan dengan bertanya kepada para tetamu apakah mereka menerima hakikat bahawa kita dan seluruh alam ini dicipta oleh Allah. Rupa-rupanya semua agama berpendirian begitu. Semua yang hadhir mengakui hakikat itu, dan kata mereka, itulah juga yang diajar dalam agama mereka.

MB meneruskan bertanya apakah undang-undang yang ada dilaksanakan diMalaysia sekarang merupakan undang-undang Cina atau India, jawab mereka tidak, Melayu pun tidak. Undang-undang yang ada sekarang ini adalah undang-undang Mat Saleh yang rupanya berbeza dengan kita, budayanya berbeza, makan minumnya berbeza, keadaan negara mereka pun berbeza, cara berfikir pun berbeza, namun, kita, semua bangsa di Malaysia boleh menerimanya, kemudian MB jelaskan undang-undang hudud adalah undang-undang yang dibuat oleh Allah, tuhan bagi orang Melayu, Cina dan India serta semua bangsa dan makhlok didunia ini.

Hukum Hudud adalah untuk menjaga akidah, harta, keturunan, akal dan maruah. Suka dan relakah tuan-tuan kalau semua perkara itu dicerobohi?, mereka menjawab tidak. Hukum hudud pula hanya akan dikuatkuasakan kepada penganut Islam, sementara penganut agama lain bebas memilih hukuman yang sedia ada sekarang. Hukum hudud untuk menghukum pesalah yang membuat kesalahan itu, satelah dibuktikan dengan kaedah yang sangat jelas. Bukan tangkap, potong tangan atau apa-apa yang patut dipotong!.

Satelah memakan masa agak lama juga, para tetamu mula memahami apa yang dikatakan hukum hudud, bukan sebagaimana yang dicanangkan oleh manusia yang tidak mahu manusia lain memahaminya, walau pun yang mencanangkan itu beragama Islam, mereka pun meminta izin untuk berundur.

Selang lebih kurang sebulan salepas itu, rombongan itu menghantar wakil mereka untuk sekali lagi menemuai YAB MB Kelantan bagi menyatakan mereka tidak ada apa-apa bantahan mengenai cadangan perlaksanaan hukum hudud kerajaan Negeri Kelantan itu, tetapi yang menentang adalah Kerajaan Barisan Nasional yang diterajui oleh umno serta orang-orang yang mendakwa berugama Islam pulaaaaak.

Wallaaaahuaklam.


Tuesday, September 16, 2008

No comments:

Post a Comment