Saturday, September 8, 2012

Nak Lagi?

Hari ini saya nak bercerita. Ceritanya dongeng berasas. Dikatakan cerita zaman dulu tapi sedang berlaku dizaman mutakhir ini.

Cerita pertama saorang budak yang mencabar orang yang lebih tua, besar dan gagah. Dengan bahasa celupar budak kerdil ini memaki hamun orang itu dengan anggapan dia boleh melepaskan diri dengan lari daripada musuhnya itu kiranya sigagah itu naik angin. Nasibnya malang, dia telah tersalah sangka dari jangka. Sigagah naik berang dan belum apa-apa budak kerdil sudah ditangkapnya. Marahkan sikerdil yang begitu celupar, sigagah menyumbat beberapa ketul tanah kedalam mulut sikerdil dan bertanya "Nak lagi?" sikerdil dengan segala kepayahan menjawab dengan bahasa isyarat, sambil menghalakan jari telunjuknya kearah mulutnya, saolah-olah berkata... "Yang ni pun tak tertelan lagi..."(cerita ini dimudahkan dan direngkaskan untuk senang difahami dan tidak menggunakan ruang yang banyak)

Pengajarannya : asal boleh jawab.

Cerita lagi, cerita kedua, (cerita berkelahi lagi, sesuailah barangkali dengan musim berlawan ni) - saorang yang tinggi tahap autanya telah terjatuh kedalam longkang tepi jalan yang penuh dengan kotoran dalam satu perbalahan. Dengan hanya dua biji matanya sahaja yang kelihatan, dia pun berkata kepada lawannya, " kalau berani, turunlah".

Pengajaran : Bukan apa, semangat juang. Agi hidup agi ngelaban. Bukan main-main. Pertahankan sehingga kesedutan nafas yang terakhir.

Cerita lagi, cerita ketiga, dinegeri antah berantah. Sekonyong-konyong negeri ini kecoh. Dinegeri ini, setiap lima tahun, atau dengan keadaan cuaca yang tertentu akan muncul angka-angka didada langit. Kali ini, muncul pula sekali lagi angka itu didada langit. Kemunculannya diluar musim lima-lima tahun itu. Rakyat dan para pembesarnya berbantah-bantahan mengenai mana yang lebih besar, 66.64 berbanding dengan 33.16, banyak beza tu. Tak tahu mengapa kali ini payah benar para pembesar ini nak memahami angka-angka ini, walhal setiap lima tahun sejak hampir 50 tahun dulu angka-angka ini selalu muncul dan mereka dengan mudah memahaminya. Kali ini, bolehkah mereka memberi alasan dizaman mereka dulu, matematik belum diajar dalam bahasa Inggeris. Rakyat negeri antah berantah mahu para pembesarnya belajar, faham dan terjemahkan angka ajaib 66.64 : 33.16 ini dengan betul.

Yang peliknya, dikalangan para rakyat, sebaik saja angka ini ujud didada langit dalam negara mereka, telah segera faham hampir serentak dengan keujudan angka itu. Para pembesar pula masih mentafsirkan angka itu dengan berbagai-bagai tafsiran. Kegagalan para pembesar memahami angka ini mengikut tafsiran yang sabenarnya akan menyebabkan para rakyat dinegeri antah berantah itu kehilangan patuh dan taat mereka akan pembesar negeri itu. Mereka akan membubarkan seluruh sistem ketaatan dinegara antah berantah ini.

Sehingga cerita ini tertulis, para pembesar negeri antah berantah itu masih tak faham, Sabenarnya keseluruhan mereka buat-buat tak faham. Para pembesar mengistiharkan kepada rakyat yang mereka tidak dapat memahami apakah yang dimaksudkan 66.64 dan 33.16. Mereka mentafsirkan dengan berbagai-bagai tafsiran, yang rakyat tahu semua itu bohong, menipu, lari daripada maksud sabenar. Rakyat perlahan-lahan membubarkan simpulan taat yang sekian lama kemas, padu dan kuat. Rakyat serentak melarutkan percaya dan patuh kepada pembesar-pembesar mereka dengan kegagalan para pembesar itu mengistiharkan pengertian sabenar dan bahawa mereka memahami angka-angka itu.

Suara para pembesarnya salepas itu dah jadi abu angin. Senyum mereka dah jadi sumbing. Tegak mereka dah jadi bengkok. Orang dah tak mahu lagi menatap wajah muka mereka (gambar lukisan tangan berharga USD1,000 diruang tamu itu pun sudah diterbalikkan). Sumpah mereka dah tak dipercayai lagi. Cakap mereka dah dibandelkan sebagai bohong. Rakyat dah tidak lagi mendoakan kesejahteraan mereka, malah disetiap ceruk rantau, dari penghuni gerabak usang ditepi parit air buang yang wangi negeri Jelutong (salah sabuah negeri yang mashor dizaman pemerintahan para pembesar ini, sekarang dah lenyap) sehingga kebanglo dan mansion mewah di Bukit Jetawan (dengan keluasan tanah hampir 20 ekar) itu pun sudah mengutuk mereka, termasuklah para-para pengampu yang makan ditangan mereka !, walaupun mereka masih bermuka-muka dihadapan para pembesar-pembesar itu.

Yang anehnya para pembesar ini masih nak mempertahankan tali pinggang watikah pemerintahan ini sehingga mereka tersungkur membaham tanah, walhal mereka tahu, tradisi sejak bila-bila pun, dinegeri mana-mana pun dibawah tungkup langit ini, dan telah dijadikan perlembagaan dinegeri bantah berantah ini juga, undang-undangnya adalah kegagalan para pembesar memahami angka-angka ini akan menyebabkan mereka melarikan diri dari wilayah antah berantah ini. Kecuali berundur dengan terhurmat. Kalau tidak, lari pun tidak, berundur pun tidak, bila mereka tersungkur membaham tanah, bangkai tubuh mereka akan disepak keluar gelanggang oleh para pencuci gelanggang, dibiarkan dimakan anjing gelandangan dan anak cucu mereka terlalu aib dan malu untuk mengaku mereka adalah keturunan pembesar-pembesar itu.

Riwayat para pembesar dan rakyat negeri antah berantah ini, sehingga kisah ini tertulis, masih belum berakhir, apakah yang terjadi kepada negeri antah berantah, para pembesarnya dan rakyatnya, sama-samalah kita dengar nanti.

Pengajarannya : Dayusnya manusia yang mempertahankan kemungkaran. Dimasa yang sama masih nak menjadi pemimpin.

Nak lagi?


Tuesday, August 26, 2008

No comments:

Post a Comment