Saturday, September 8, 2012

Berhadapan Dengan Pilihan Dalam Kehidupan

Pada 18 dan 19 Ogos, 2008 saya di utara tanah air melihat gelagat dua puak manusia dalam mempengaruhi manusia lain bagi membuat satu pilihan dalam kehidupan mereka, dalam masa yang sama, melihat gelagat manusia yang hendak dipengaruhi terhadap puak-puak yang hendak mempengaruhi.

Rengkasnya, terdapat 3 hiraki manusia dalam sandiwara ini - Hiraki pertama adalah para ketua dari kedua-dua puak. Kedua petugas dan pengikut setia bagi kedua-dua puak sementara ketiga adalah golongan yang akan dipengaruhi yang terdiri daripada ra'yat terbanyak.

Sengit sungguh pertembungan ini. Puak pertama, yang sedang mendominasi masyarakat mempunyai ketua-ketua yang sedang memegang amanah pemerintahan, disokong oleh para petugas yang mempunyai kuasa, yang diberi gaji oleh negara dan kebanyakan pengikut setianya sedang menikmati anugerah dalam pelbagai bentuk daripada kerajaan yang memerintah. Puak ini bebas menggunakan apa saja harta kerajaan dalam melaksanakan kerja mendapatkan sokongan rakyat.

Puak kedua pula diketuai oleh mereka yang tidak mempunyai apa-apa pegangan dalam kerajaan yang memerintah, tetapi kata mereka, puak merekalah yang akan memperbaiki kebobrokan yang sedang berleluasa dalam kerajaan yang sedang diterajui oleh puak pertama, jika diberi kepercayaan untuk memenangi persaingan ini. Sementara para petugas dan penyokong kuat puak ini adalah dari golongan sukarelawan rakyat yang tidak bergaji, dan mengharapkan sumbangan lojistik hasil derma orang ramai.

Ending dan penentu kepada pertembungan ini adalah rakyat - rakyatlah yang akan memastikan siapakah yang akan diberikan mandat peperintahan dan bagaimanakah corak dan bentuknya kehidupan yang akan diwarnakan oleh pemenang nanti, yang akan dirasai oleh rakyat terbanyak juga sudahnya.

Inilah pilihan. Dan, dalam kehidupan setiap saat manusia berdepan dengan pilihan. Dinihari tadi saya juga berhadapan dengan pilihan: bangun untuk megerjakan solat tahajjud, hajat dan witir atau meneruskan tidur ditilam empuk, bersama isteri sementara menunggu waktu subuh. Tadi saya mengalah kepada tuntutan badan yang mengatakan letih sangat kerana sejak belum zohor semalam memandu, dari Permatang Pauh ke Pulau Pinang kemudian balik ke Kota Bharu, Isya' sampai dirumah, maka meneruskan berbaring sehinggalah azan subuh kedengaran.

Baru sekejap saya dihubungi oleh saorang ejen kereta bertanyakan jadi atau tidak saya membeli kereta dikedainya. Saya, bagi menjaga hubungan dengannya memberitahu saya hanya membeli kereta terpakai, walhal saya sabenarnya sedang menguruskan pembelian kereta baru yang lebih murah dari syarikat lain. Saya sabenarnya mempunyai pilihan untuk bercakap benar dengannya atau sebaliknya. Astaghfirullaah, mengapa saya perlu bercakap bohong?.

Apa pun, apa saja pilihan yang dibuat mempunyai implikasinya - dunia dan akhirat. Semoga kita semua mampu, diberi kekuatan untuk membuat pilihan yang membawa hasanah bagi dunia dan juga yang lebih penting, hasanah bagi akhirat kita semua.

Apakah puak yang akan mendapat pilihan majoriti rakyat akan membawa hasanah dunia dan hasanah akhirat bagi penduduk Permatang Pauh dan Malaysia amnya nanti, sama-samalah kita berdoa dan melihat keputusannya menjelang malam 26hb. Ogos nanti.


Tuesday, August 19, 2008

No comments:

Post a Comment