Saturday, September 8, 2012

Tadarus al-Qur'an al-Kariim Kerajaan Kelantan 2008, Ramadhan 1429.

Semalam, tadarus al-Qur'an diperingkat parlimen saya diadakan. Sudah kali ke 16, setiap tahun, kerajaan Kelantan mengadakan tadarus diseluruh negeri, bermula diperingkat negeri, parlimen, dun, sehinggalah ke kampung-kampung dengan memilih beberapa ayat dari isi kandungan al-Qur'an untuk diperincikan, kalau boleh dihafal, difahami serta diamalkan - itulah pesanan YAB Dato' Tuanguru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan kepada semua rakyatnya, seluruh penduduk Kelantan.

Kali ini, dipilih tujuh ayat terakhir, ia-itu ayat ke18 sehingga 24, dari surah al-Hasyr. Surah madaniyyah, surah ke59 dalam susunan dalam al-Qur'an dan mengandungi 24 ayat. al-Hasyr bermaksud peristiwa perhimpunan musuh yang merancang untuk memerangi Rasulullah SAW dan umat Islam diMadinah. Tujuh ayat terakhir ini bagaimana pun tidak mengesahkan tentang peperangan, tetapi mengenai ketaqwaan, peringatan terhadap manusia, syurga, neraka, kebesaran al-Qur'an, asmaa' ul-husna serta keagungan Allah.

Untuk dikongsi bersama, saya nak catat kembali dalam blog ini pengertian dan huraian yang telah diberikan oleh penceramah terhadap dua ayat sahaja, ayat ke18 dan 19, barangkali kalau di hayati apa yang terkandung dalam dua ayat itu pun sudah cukup untuk menjadi asas dan modal Ramadhan tahun ini sehingga bertemu pula ditahun depan, kalau masih diizinkan umor oleh Allah.

Ayat 18 membawa maksud " Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah, dan perhatikanlah setiap kamu, apakah yang telah kamu hantar untuk hari esok, bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah pakar yang maha mengetahui segala yang kamu lakukan".

Taqwa mudahnya membawa maksud takut. Kita, orang-orang yang beriman diperintahkan untuk takut kepada Allah. Orang yang takut kepada sesuatu atau sesaorang akan melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Memang, kita sepatutnya takut, melaksanakan apa yang diperintah meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah sebab kita dijadikan oleh Nya, dijaga makan minum, kesihatan, kewarasan akal fikiran, dan segalanya oleh Nya. Orang-orang terdahulu, dizaman pemerintahan Fir'aun, begitu takut mereka kepada Fir'aun, taat dan patuhnya kepada perintah Fira'un sehinggalah mereka sanggup ikut perintah Fir'aun yang menyuruh membunuh anak lelaki dan membiarkan hidup anak-anak perempuan. Mereka buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang. Itu kaedah hubungan diantara tuan dan hamba.

Kita manusia sekarang pun, sebagai analogi hubungan diatas, katalah kita bela saekor berok untuk tujuan menurunkan buah kelapa atau sebagainya. Kita tentu mahukan berok yang kita pelihara itu takutkan kita, ikut perintah, kalau disuruh ambil nyior masak, dan jangan ambil yang masih muda, dia kena berbuat begitu dan kalau dia berbuat sebaliknya, kita akan marah. Ada tuan berok yang marahkan beroknya dengan menjualnya murah-murah, menderanya dalam air, atau memukulnya, atau sebagainya lagi dan ada yang sanggup merentapnya jatuh dari atas pokok dan qaaluu lah binatang itu.

Itu gambaran bagaimana hubungan hamba dengan tuan, yang mana, walaupun Fir'aun tidak mencipta rakyatnya, namun, oleh ketuanannya yang begitu hebat, maka rakyatnya begitu patuh sehingga sanggup membunuh anak lelaki sendiri. Sementara tuan berok itu pula, pun tidak dia yang mencipta makhluk itu, hanya dia bela dan bagi makan nasi sejuk saja kepada binatang itu, tapi bila tak mendengar kata, nahas binatang itu dibuatnya.

Kita dengan Allah?, Dia yang mencipta, Dia yang menjaga, Dia yang mentukan rezeki, bagi segala keperluan, tak mahu di ikut juga?, punyalah angkuh dan sombong manusia ini, kata beriman dengan ugama Islam, tapi nak buat cara sendiri, tak mahu ikut perintah Allah. Besar mana sangatkah otak mu sehingga nak kamu sangkal apa yang diperintahkan Allah. Cerdik sangatkah kamu, sehingga kamu sanggup buat terbalik dari apa yang diperintahkan Nya?, yang disuruh kamu tinggal, yang dilarang kamu buat?, atau setengah-setengah yang kamu suka kamu buat, setengah lagi yang kamu tidak setuju kamu tinggal, dengan mengatakan apa yang diperintahkan oleh Allah itu sudah tidak sesuai lagi dizaman ini? sesunguhnya kamu menempah tiket nahas dengan pendirian itu.

Itu baru taqwa. Dalam ayat ini ada dua kali disuruh bertaqwa. Betapa bertaqwa itu sangat diberati. Payahkah nak bertaqwa?, tidak, dan untuk tidak bertaqwa pun tak mudah. Malah lebih mudah dan bermanafaat bertaqwa kerana apa yang diperintahkan adalah sesungguhnya begitu fitrah manusia. Dia yang menciptakan manusia, sebagaimana pengilang yang mengeluarkan sesuatu barang, dialah yang tahu spesifikasinya, jangan alat itu sendiri yang nak tentukan. Pengilang kereta akan tentukan minyak apa yang nak digunakan, berapa kapasitinya. Jangan kereta itu yang nak suka-suka mengubah, dari petrol kepada disel kerana bahan api itu lebih murah, atau dari lima orang kepada sepuluh orang muatannya kerana itu akan mengurangkan trip untuk mengangkut orang. Tuan yang tentukan do's dan dont'snya, bukan binatang peliharaan yang tentukan. Cuba bayangkan kita jadi lembu, kerbau atau kambing biri-biri sekejap. Tentu kita akan katakan bodoh kepada tuan kita yang tidak mahu kita memakan anak pokok padi yang subur kerana itu akan menggemukkan kita, dan tuan kita akan mendapat harga yang lebih bila menjual kita nanti. Itu saja yang kita tahu, tapi tuan kita tu tahu lebih dari itu, nak juga dia kita gemuk, segar tapi padi itu ditanam bukan untuk kita, pokok padi itu akan mengeluarkan buah, bukan untuk dimakan pokoknya, padi itu satelah masak buahnya akan dituai, diambil buahnya, nanti samada dijual atau dijadikan beras untuk dijadikan nasi. (Berhenti jadi binatang-binatang ternakan itu, jadi manusia semula sekarang). Lebih kurang begitulah. Namun, perbandingan kita dengan Allah, jauh lebih dari itu.

Kemudian kita diperintahkan "perhatikanlah setiap diri kamu, apakah yang telah kamu hantarkan untuk kegunaan kamu dihari esok, dan bertaqwalah kamu kepada Allah". Apa yang kita buat didunia ini, hari ini semuanya dikira sebagai himpunan dan semuanya dihantar untuk kegunaan kita dihari esok. Kebaikan yang dilakukan, kebaikanlah yang diposkan untuk dihimpunkan bagi kegunaan esok, kejahatan yang dilakukan, kejahatanlah yang diposkan dan dihimpunkan untuk kegunaan hari esok. SEMUA. Hari esok itu adalah hari kiamat, yang dikatakan esok kerana ianya sangat hampir tiba. Bila Nabi Muhammad diutuskan, baginda bersbda, diantara aku dengan hari kiamat adalah begini, baginda mengangkat dua jarinya, menunjukkan betapa hampirnya.

Kebaikan, taat, ikut perintah, adalah bekal positif, aset yang kita himpunkan dan hantarkan untuk kegunaan hari esok. Kejahatan, engkar, lawan perintah, maksiat, adalah bekal negatif, liabiliti yang kita juga hantarkan untuk hari esok. Bagaimana, agak-agak setakat ini mana yang lebih besar, aset atau liabiliti, apakah bottom line itu nanti, positif atau dalam breket?. Atau kita tak pernah odit apa yang telah kita hantarkan untuk kegunaan hari esok, atau kita tak tahu pun ianya telah dihantar, posted, sebab penghantaran itu adalah otomatik, tanpa kos atau menunggu kita arahkan, tak payah menggunakan stem atau membayar syarikat yang menyediakan courier service, tidak juga kita bayar saorang akauntan untuk memasukkan penyata itu kedalam satu cacatan, maka kita tak tahu, bahawa segalanya terhantar, posted. Tidak ada satu urusan pun yang tertinggal.

Segala, segala, dan penghantaran adalah on the spot, jangan bimbang, daripada kebaikan (aset)sebesar zarah sehinggalah kepada kejahatan (liabiliti) yang sebesar zarah, semuanya culculated for and been taken care of, kerana petugas yang melakukannya adalah satu makhluk yang mendapat perintah dari yang Maha Agung yang bernama malaikat. Sekarang, tahu dah?, atau masih ragu?. degil?, sombong dan angkuh lagi?, selesa dengan segala kesenangan kehidupan dunia?. Jangan kerana itu tak berbaloi.

Segala apa yang dibuat hendaknya jadi aset, bukan liabiliti. Untuk jadikan segala kerja itu aset, kenalah buat sebagaimana yang disuruh. Makan minum sebagaimana disuruh, berkeluarga sebagaimana disuruh, berniaga sebagaimana disuruh, makan gaji sebagaimana disuruh, bersukan sebagaimana disuruh, bermasyarakat dan berkeluarga sebagaimana disuruh, berpolitik sebagaimana disuruh, berperang sebagaimana disuruh, berkawan sebagaimana disuruh, SEGALANYA dibuat sebagaimana yang disuruh. Disuruh oleh Allah, yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW, bukan yang disuruh oleh nafsu, oleh syaitan yang disuruh oleh Amerika, yang disuruh oleh kepentingan diri atau oleh mana-mana yang menyuruh, selain dari Allah.

Maka, jadilah manusia yang beriman ini makan minumnya yang halal, baik ainnya, cara mendapatkannya, cara makannya yang tidak membazir. Keluarganya yang didirikan dengan syariat Islam, yang dimulakan dengan ikatan perkahwinan yang sah, kaedah perjalanan rumahtangganya, dimana sisuami mengepalainya berasaskan perintah Allah, siisteri dan anak-anak yang taat dan menyejukkan mata memandang. Peniaganya tidak menipu, mengeluarkan zakat, menjaga kemaslahatan umum, tidak khainat. Ahli-ahli politiknya, atau pemimpin-pemimpinnya mengikut syariat Allah dalam melaksanakan undang-undangnya, amanah melebihi kepentingan peribadi dan kroni, kebajikan rakyat mengatasi kehendak menambahkan hasil negara melalui cukai, negara yang didalamnya terserlah kebaikannya, tersusun rapi perjalanan undang-undangnya, bukan dipinda saban hari demi menyelamatkan diri dan kedudukan pemimpinnya, dan segalanya. Lalu, ujudlah kehidupan yang hasanah didunia, semua manusia menikmati kehidupan yang baik, aman, makmur, bersangka baik, dan serentak ianya menjadi aset yang dihantar untuk hasanah diakhirat.

Dan diakhir ayat ini, Allah menegaskan, kot-kot tak teringat, sebab, bukan hanya Melayu yang mudah lupa, manusia ini sememangnya pelupa, dengan mengatakan " Sesungguhnya Allah pakar dalam mengetahui segala yang kamu buat". Bila disebut pakar itu, tahulah. Saorang pakar dalam bidang kejuruteraan akan hanya tahu pembinaan MRR2 itu tipu atau tidak ikut speknya dengan mengetuk tiang atau beam konkritnya saja. Bunyinya akan memberitahu pakar ini adakah ianya dibina dengan sempurna atau tidak. Begitulah dengan pakar-pakar yang lain. Pakar perubatan dengan kepakarannya. Tengok pesakit pun dah tahu apa panyakit yang dihidapinya. Pakar kajibumi, tengok tanah tu dah tahu apa kandungan galian didalamnya. Pakar tumbuhan pula, rasa daun, ah, pokok ini kekurangan zat nitrojen katanya... Itu pakar manusia, kepakaran Allah ni, jauuh lebih pakar dari segala pakar-pakar itu.

Pakar, nak bagitahu kapada kita, tak payah nak klentong, buat-buat puasa, manusia tak tahu, Dia tahu. Sumbang dibelakang suami, suami tak tahu, Dia tahu. Terlintas dalam hati pun dia tahu. Tak boleh lari.

Mengaku sajalah, surrender, bukan lawan kita, tetapi Dia tempat kita menyerah diri, patuh, taat, meminta perlindungan, meminta kasihan belas. Mengaku, kalau terberlaku (memang disengajakan atau tidak, tapi jarang sangat yang tak sengaja) perkara yang ditegahnya, minta ampun, taubat, menyesal, jangan ulangi. Dia Yang Maha Pengasihani, akan mengampunkan hambanya yang sedar atas kesalahannya, Dia akan memaafkannya. 

Nampaknya setakat itu hari ini, satu lagi akan dimasukkan bila ada kesempatan, wallahu'aklam bisawab.


Monday, September 8, 2008

No comments:

Post a Comment