Sunday, September 9, 2012

Kisah Tiga Serangkai


Sunday, November 30, 2008

Kalau orang melebihi separuh abad, bila dikatakan tiga serangkai itu maka mereka akan mengertikan dan mensinonimkan sebagai kencing manis, darah tinggi dan lemah jantung. Tiga serangkai itu pun berpakat dan bekerjasama juga tapi untuk memati cepatkan tuannya.

Satu lagi tiga serangkai yang oleh orang-orang tua kita selalu menyebut hanya dua sahaja, aur dan tebing, sabenarnya ada satu lagi rangkaiannya, air. Aur dan tebing tidak akan sempurna kalau tidak ada air. Tebing selalunya akan dikaitkan dengan sungai atau kolam atau tasik yang sudah tentu ada air. Aur pula amat-amat memerlukan air, maka ia pun tumbuhlah ditebing yang dekat dengan air.

Beberapa hari lepas, jalan kekebun saya yang menyusuri sebatang sungai kecil terhalang oleh serumpun aur yang terbalik. Tebingnya terbungkes sekali dengan akar-akarnya dek air yang memenuhi sungai dan mengalir dengan deras. Saya terfikir, kesatuan aur, tebing dan air sudah tidak dalam keadaan keseimbangan lagi bila salah satu dari rangkaian itu cuba mendominasi dan tidak menghiraukan sensitiviti dua lagi rangkainya.

Tebing, pasrah. Dia menyediakan dirinya menjadi laluan air dan menyerahkan dirinya ditumbuhi aur. Tidak apa-apa dia. Naiklah kamu aur, lalulah kamu air, aku tidak akan bertindak apa-apa. Asal kamu semua dapat berada dalam keadaan yang kamu mahu. Aku menyediakan diri aku untuk kalian. Kalau ada diantara dua rangkaiannya yang lain, aur atau air yang tergamak menafikan bahawa tebinglah yang berasal disitu, bolehkah makhluk-makhluk lain menyebelahinya.

Aur, hidup dan menjalankan penghidupannya dengan konsisten, perlahan tapi berterusan. Semakin sehari semakin membesar rumpunnya, semakin ia mencengkam tebing semakin rimbun.

Air, satu rangkai yang sangat berubah-ubah. Ada kala merendah sehingga kedasar tebing, dan beberapa hari lepas, dimusim tengkujoh ini, melimpahi tebing. Dari perjalanan yang perlahan-lahan, kepada deruan kuat yang menghakis tebing, meruntuhkan cengkaman aur ditebing. Air kena mengaku yang dia datang dari jauh. Ada yang datang dari celah batu, kerikil, atau dari rekahan bumi yang entah dimana, hanya yang pasti, datang dari jauh. Cuma air akan berpakat, menuju kesatu lurah, berpakat dari lurah-lurah kesungai kecil sebagaimana disepanjang jalan kekebun saya ini, dan kemudian kesungai besar dan kelaut.

Begitulah, Allah memberi iktibar dalam hidup manusia, dengan ayatNya yang dapat dilihat, kesepakatan, menagmbil kira sensitiviti rangkai yang lain, bertimbangrasa sahajalah yang akan mengekalkan keseimbangan kehidupan bersama.

Kalau tebing runtuh, bukan sahaja aur yang terbalik, tetapi juga laluan air akan tak keruan lagi. Laluan air akan jadi merata-rata, tak terurus, dan tak akan dapat dimanafaatkan, malah mendatangkan kemudaratan kepada semua.

Kalau direnung, agak-agak, suasana inikah yang sedang dialami oleh bangsa-bangsa ditanah airku kini.

Wallaahuaklam bissawaab.

No comments:

Post a Comment