Saturday, September 8, 2012

Sementara Menunggu Berbuka, Kalau........

Kalau diizinkan Allah, hajat tu nak buat satu koperasi keluarga. Nama : ko-SAKTI, Koperasi Sepakat Ahli Keluarga Tukang Ibrahim, sempena nama allahyarham tok ayah yang mashor dengan pertukangan besi dizamannya, sekitar 100 tahun atau lebih sedikit dulu.

Kalau mendapat sambutan, biarlah koperasi ini dianggotai oleh semua anak menantu cucu cicit dan seterusnya keturunan Tukang Ibrahim ini. Boleh jadi adalah sekitar beberapa ratus oranglah agaknya kalau dihimpunkan semua.

Kalau tidak mendapat sambutan, cukuplah dulu dimulakan dengan keluarga allahyarham ayahanda Hj. Mamat dulu - cukup kalau nak genapkan bilangan minima sabuah koperasi keluarga.

Kalau jadi, ianya sebagai sabuah badan yang akan menjadi penghubung silaturrahim dikalangan ahli-ahli keluarga. Kini ikatan kekeluargaan semakin longgar, oleh terlalu lemahnya anti bodi melawan syaitan laknatullah, maka yang ada ilmu ugama (anak-anak yang dihantar kesekolah agama, diandaikan ada ilmu ugama), dimasa makannya pun masih disuap oleh mak-bapa, semasa motosikalnya pun dibeli dan minyaknya diisi oleh mak-bapa, pun tak berupaya untuk menghormati mak-bapa, apa lagi nak menghubungkan silaturrahim dikalangan adik beradik, saudara mara, sepupu jaru, bila dah ada sedikit rezeki hasil dari usaha sendiri, makan minum diusaha sendiri, ada kereta yang dibeli sendiri dan minyaknya diisi sendiri nanti.

Kalau tidak diikat dengan sebarang ikatan yang didalamnya terdapat unsur-unsur kepentingan duniawi dan ukhrawi, maka dibimbangi akan terbentuklah satu keluarga yang aku-aku, mu-mu, bawa diri masing-masing, yang segar segarlah yang daif daif lah.

Kalau masih ada kesempatan dan diizinkan Allah, hendak disegerakan penubuhan ini. Hendak dipercepatkan operasinya agar ianya dapat mengeluarkan hasil yang lumayan, boleh menjadi tempat tumpangan anak buah, ada platform tempat berkumpul disamping memenuhi keperluan dunia, bolehlah menjadi medan ukhrawi, bertegur sapa, berpesan-pesan kepada kebaikan dan silaturrahim.

Kalau jadi nanti, ianya menjadi tempat pengembelingan beberapa kepakaran yang sedang dikumpulkan dalam keluarga ini. Ada yang sudah graduate dalam beberapa bidang, ada yang sedang didalam pengajian, ada yang diberbagai peringkat. Ada yang telah mengumpulkan pengalaman berpuluh tahun dalam bidang masing-masing. Penggabungan ini nanti akan mengujudkan satu kesan sinergi yang berganda, 1+1 boleh jadi beberapa ratus, ribu atau juta, atau lebih dari itu, bukan 2.

Kalau disepuluh tahun dari hari ini, tahun 2018, dua tahun nak sampai 2020, koperasi itu sudah berumor 10 tahun, bidang yang diceburi mencangkupi penjanaan pendapatan, dari beberapa perniagaan yang menguntungkan, mungkin hartanah, perladangan, penternakan, ICT, perkhidmatan, katalah apa saja, yang keuntungannya mencapai jutaan setahun, ada juga bidang pendidikan, yang menyediakan peluang pendidikan agama, al-Qur'an dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya, serta ilmu-ilmu kehidupan yang lain, menyediakan kemudahan menyokong keperluan ahli-ahli keluarga yang memerlukan dan layak dibantu, maka, sebahagian dari tugas ta'aawanu 'alal birri wat taqwa itu terlaksanalah.

Kalau sepakat sungguh ahli keluarga ini, semua kalau-kalau diatas akan jadi sungguh. Sebab, mereka yang berjaya yang ada sekarang ini pun bermula dengan 0 kebanyakannya, sedangkan dengan cadangan ini, permulaannya jauh lebih besar dari 0, bukan 1 tapi banyak. Yang penting, sepakat. Sepakat membawa berkat. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Jadi. Insyaallah. Dan, jadi ini berkualiti. Merdeka. Tidak ada manusia dikalangan ahli keluarga yang berada dalam pakatan keluarga ini yang boleh disewa dengan harga RM50 bagi temph 5 tahun. Tidak ada manusia dikalangan ahli keluarga itu yang sanggup menggadaikan dirinya dengan sehelai kain palikat cat kuda bagi tempuh 5 tahun. Mereka adalah manusia yang berpendirian; Islam agamaku, Islam adalah Islam, bukan Islam Moden, bukan juga Islam Hadari, bukan Islam Semasa, atau apa-apa Islam rekaan otak manusia, Islam cara hidupku, Islam matlamatku, dan matiku untuk Islam, Islam dunia dan akhiratku . Cukup. 

Ukhuwah dan persaudaraan kemas. Senang dan susah salah saorang dari ahli keluarga adalah susah dan senang semua. Sedih dan gembira salah saorang ahli keluarga adalah sedih dan gembira semua. Bukankah Nabi dah bersabda, mafhumnya, lebih kurangnya, "Islam itu bersaudara, seumpama satu badan, kesakitan disatu anggota menyebabkan anggota lain juga tidak dapat tidur".

Kita mulakan disitu. Hendaknya seluruh umat begitu. Kesusahan orang Islam di Palastin, kita disini merasakanya, dan sepakat membantu, susah orang Islam di Iraq, kita disini juga bersusah payah juga, serta mengmbelingkan tenaga membantu. Dihina orang Islam diselatan Filipina, kita disini merasakannya, membantu, bukan mengharapkan kafir Amerika laknatullah yang menanganinya.

Janganlah menuding jari kepada sesiapa. Tidak negara Islam (Hadari) Malaysia, tidak OIC, bukan Bangsa-bangsa Bersatu, tidak Negara Arab, tapi kita. Kita anak cucu Allahyarham Tukang Ibrahim, datok kita, yang pernah mengukir namanya dalam bidang pertukangan besi, anak cucu Allahyarham Hj.Mamat yang mewarisi seni itu, yang mengajar kita kehidupan, yang dengan caranya, banyak berjasa kepada kita mencorakkan kita sehingga, dengan izin Allah, kita berada disini, begini, hari ini.

Tak payah berpakat, hanya semudah berbalah. Kalau hanya dengan satu perkataan yang dikeluarkan oleh salah saorang ahli keluarga, sudah menjadikan kita terasa hati dan sanggup tak bertegur sapa untuk bertahun-tahun, mengapa berpakat payah?. Kalau kita tahu dengan mengeluarkan kata-kata ini akan menyebabkan saorang dari saudara kita terasa hati lalu menyisihkan dirinya dari kita, kita ikhtiarkan, dengan sepatah kata juga kita boleh berpakat untuk menjayakan perlumbaan kearah kebaikan ini. Kita ucapkan kata-kata yang dengan sepatah itu juga dapat menarik ahli keluarga kita untuk berpakat. Yang jadi payah untuk berpakat adalah kerana si syaitan yang menghasut pengikutnya agar berbalah, bukan berpakat. Manusia pula ramai jadi pengikut syaitan. Itulah sebab payah.

Berpakat mudah dengan satu syarat, jangan biarkan kita jadi tunggangan syaitan laknatullah, syaitan jadi tuan, kita jadi kaldainya, syaitan letak punggungnya atas dahi dengan kakinya diatas kedua-dua kening, duduk atas belakang atau kepala, kita jadi pak tolol ikut apa yang disuruhnya. Ruginya manusia yang jadi tukang ikut syaitan. Didunia tak ada saudara, kalau senang orang tak boleh tumpang menafaatkan kesenangannya, kalau susah, tak siapa nak diminta tolong, dan kalau minta tolong pun, orang tak layan, diakhirat dimurkai Allah.

Ada orang kata jangan berkalau. Saya kata, berkalau boleh, jangan yang telah lalu. Berkalau yang telah lalu, tak boleh. Sebab, apa nak dikalaukan lagi, yang telah lalu itu, telah jadi begitu. Berkalau yang akan datang itu perancanganlah agaknya.

Dan, doa saya di petang hari dua Ramadhan ini, semua kalau-kalau saya yang baik-baik dan mendatangkan kebaikan kepada semua umat Islam ini dimakbulkan, dipermudahkan melaksananya, dijadikan kenyataan oleh Nya, Insyaallah.


Tuesday, September 2, 2008

No comments:

Post a Comment