Saturday, September 8, 2012

Ikan DiLaut Tak Masin

Hari ini 31 Ogos, 2008. Hari kemerdekaan Malaysia ke 51. Sudah 51 tahun Malaysia merdeka. Lebih satu tahun satengah abad.

Oleh kerana hari ini hari cuti, al-fadhil ustaz yang mengimami solat subuh di Masjid Ar-Rahman pagi ini sempat berkuliah. Kalau tidak dia akan bergegas turun salepas solat subuh untuk pergi mengajar. Kuliah pagi ini bertajuk ikan dilaut tak masin. Nak suruh masin, ikan itu kena dibubuh garam, dan ikan itu pula rela, mahu dan bersedia untuk digarami. Tak masin sendiri disebabkan ia berada dalam air laut yang masin.

Ayat yang dibaca ketika solat tadi bertajuk demikian, katanya. Ayat mengenai bagaimana anak isteri dua orang nabi - Lut dan Nuh tidak ikut nabi-nabi itu, nabi-nabi itu, sememangnya berada dalam pertunjuk, taufik dan hidayah, sentiasa mengajak kearah kebaikan, namun anak isteri mereka mengambil jalan lain, jalan sesat. Begitu juga isteri Firaun, walaupun Firaun kufur sehingga mengaku dirinya Tuhan yang maha agung, namun siisteri beriman dengan Allah S.N.W.

Demikianlah juga kehidupan hari ini, katanya. Anak ustaz, tok guru, orang alim, tak semistinya dengan segala title yang ada pada tok guru, ustaz, ulama' itu akan mengotomatikkan anak dan isteri mereka menjadi sebagaimana mereka juga, malah, juga anak tok jahil, pun ada yang jadi alim, cuma jarang-jarang.

Inilah memerlukan usaha kita. Ramai anak muda, bukan anak saorang doktor, sekarang ini jadi doktor, cucuk sendiri. Cuma doktor ini tak boleh nak minta tolong untuk menyelamatkan orang nak mati. Dia sendiri pun tunggu saat kematian.

Berkebetulan, katanya, esok akan bermula Ramadhan bagi tahun ini. Semoga Ramadhan tahun ini akan kita semua manafaatkan dalam membentuk diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara serta dunia seluruhnya agar yang telah sedia baik akan jadi lebih baik, yang tak dan belum baik jadi baik. Kena berperanan. Tak boleh biar dan harap kepada suasana yang mencorakkan kita dan semua. Ikan yang sejak tok neneknya hidup dalam air masin dilaut, telurnya menetas dalam air laut, membesar dan makan minum dalam air masin pun tak masin-masin, analoginya. Berusahalah. Insyaallah.

Untuk jadi baik, kena tahu apa yang baik tu, baru tahu bagaimana yang dikatakan baik, dan nak dilakukan yang baik itu. Kalau tidak, yang disukai dikatakan baik, yang digemari dan disetujui oleh orang dikatakan baik, yang mendatangkan kenikmatan dan keseronokan dikatakan baik. Belum tentu. Bahkan kerapkali yang disangka baik dengan hanya berlandaskan fikiran manusia itu sabenarnya tidak baik dari kacamata kebaikan yang sabenarnya. Rujukan mutlak untuk mengatahui mana yang baik dan mana yang jahat bagi orang yang beriman adalah al-Qur'anul Karim.

Ada ulama' mengambil kesempatan sepenuhnya menjelang Ramadhan untuk membaca al-Quran. Riwayat mengatakan ada yang mengkhatamnya 60 kali sepanjang Ramadhan. Kita, kata ustaz itu lagi kalau boleh, kalau tahun lepas kita khatam satu kali, tahun ini dua kali dah cukup. Ada kaedah kalau mahu. Semasa sembahyang sunat Tarawikh, imam baca satu juzuk, satu malam, lepas itu, lepas tarawikh, rehat sejam, kita baca sendiri pula satu juzuk. Habis Ramadhan kita dikira khatam dua kali. Itu pun kalau kita tidak miss Tarawikh.

Ingatnya lagi, dibulan Ramadhan ini ada malam Lailatul Qadar. Orang zaman dulu, pilih-pilih hari untuk mendapatkan Lailatul Qadar. Jangan buat begitu kita sekarang. Kita buat terus, tanpa miss setiap malam, sudah pasti, diakhir Ramadhan tahun ini kita tak payah duduk berkira-kira kita samada kita memperolehi Lailatul Qadar atau tidak, kalau kita terus, pasti kita memperolehinya. Insyaallah.

Semoga diberi kekuatan oleh Allah, Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang lepas, dan semoga berakhirnya Ramadhan tahun ini nanti, akan bersihlah diri dari dosa yang telah sekian lama dikumpulkan. Dan, telah berjayalah memperolehi satu malam yang kelebihannya melebihi seribu bulan itu. Ya Allah, kasihanilah aku, kedua-dua ibu dan bapaku, keluargaku, ahli-ahliku, seluruh muslimin dan muslimat, samada yang masih hidup atau yang telah mati.


Saturday, August 30, 2008

No comments:

Post a Comment