Saturday, September 8, 2012

ISO Diri dan Keluarga

Kelmarin dan kemarin dulu ada satu pengalaman baru yang boleh diteladani atau disempadani.



Sehari suntuk semalam dan hari sebelumnya saya bersama saorang kawan menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Masalah ketidak profesionalistik saorang manusia dalam mengendalikan kerja yang diamanah dan dibayar kepadanya. Urusan ini yang telah diserahkan oleh kawan saya itu kepada sabuah syarikat, syarikat itu pula telah subkan kepada orang ini. Orang ini, saorang perunding free lance, kerjanya mencari kerja-kerja dari firma-firma berdaftar, berlesen, melaksanakannya dan mendapatkan bayaran daripada syarikat, hasil dari fee yang dibayar oleh pelanggan kepada syarikat yang dilantik bagi melaksanakan kerja itu.



Bagi tugas ini, orang ini telah tidak melunaskannya walaupun semua perbelanjaan yang diperlukan serta ganjarannya telahpun dibayar oleh kawan saya itu. Lebih memeritkan, segala dokumen telah disimpannya, tidak dipulangkan kepada pelesen, dan paling menyakitkan hati, perasaan, merenyahkan, dia menghilangkan diri, tidak mengangkat talifon tangannya, tidak menjawab pesanan rengkas yang dihantarkan, tidak dapat dijejaki. Bagi mendapatkan balik dokumen-dokumen yang disimpannya itu daripada jabatan berkaitan akan memakan masa tidak kurang dari 6 bulan pula, dengan perbelanjaan-perbelanjaan yang tertentu.



Kawan saya mengesyaki orang ini mungkin telah mati. Tiba-tiba dapat satu berita bahawa orang ini telah sekali mengangkat talifonnya bila saorang dari kakitangan pejabat firma itu menalifonnya. Salepas itu, bila dihubungi, dia ghaib semula.



Turun dari rumah hari itu, mencarinya sehingga jumpa. Saya mengatakan payah lagi mencari manusia hidup yang bersembunyi daripada mencari binatang ternakan yang hilang, tambahan pula orang yang dicari ini ada 4 stesen (!).



Mula-mula kami kestesen pertama. Rupa-rupanya ini stesen kedua baginya. Yang ada dirumah ini, mengikut jirannya adalah mertuanya sahaja, uzur. Tak dengar, kalau nak bercakap dengannya, kena terpekik-pekik. Orang itu telah lama tidak tinggal disini. Ada jirannya yang tahu kemana dia berpindah. "Terus jalan ini, dalam 20 km lagi, lepas trafik light pertama, ada selekoh, rumah dia sabelah longkang, sebelah kanan jalan, macam ada paya didepannya". Kami meluru ketempat yang diplankan. Salepas sahaja melewati trafik light, kami berhati-hati memandu perlahan, ada saja orang ditepi jalan kami tanya..., tak tahu. Singgah dikedai runcit, kakak itu tak tahu..., terus jalan dan tanya lagi, ada saorang anak muda, ya, katanya dia kenal dan dia bagi tahu tapi salah orang. Jumpa kawasan nampak macam berpaya, kami berhenti, tanya lagi, ... tak tahu.



Kalau tak salah, satelah lima atau enam orang kami tanya, tak juga jumpa, kami mengambil keputusan untuk pergi balik kepada jiran mertuanya yang memberitahu kami tadi untuk sekali lagi mencerapkan dimana rumahnya. Kami berpatah balik, jirannya itu memetakan semula. " Lepas trafik light tu, tak lama, sabelah kiri, kedai-kedai dua tingkat, rumah dia sabelah kanan, rumah separuh simen, separuh kayu, pochnya uzur benar, adalah tuu...".



Kami berpatah balik ketempat pencarian. Lepas trafik light, kiri rumah kedai, rumah dia belah kanan..., rumah separuh simen, separuh kayu...., banyak, hampir semua..., tanya lagi, tak tahu....., depan lagi..... haa, ini, separuh simen, separuh kayu, dan, dan... pochnya hampir roboh...., cuba pergi, saya menyuruh kawan kesitu.



Saya menunggu dalam kereta, kawan saya pergi. Seminit kemudian, dia mengisyaratkan agar saya ketempat dia. Betul, ini orang yang dicari. Hampir 3 bulan mencari, beratus kali menalifon, kepejabat pelesen tempat dia mengambil kerja ini pun telah pergi, berbincang dengan bos pelesen pun telah buat, habis daya upaya. Pelesen sendiri mengaku tidak dapat mencarinya lagi. Cuma khidmat bomoh siam sahaja yang belum dimanafaatkan lagi... nak cerita betapa habis ikhtiarnya!.



Orang ini dengan hanya memakai kain palikat, pun tak berikat dengan sempurna, tak berbaju, bersila diatas sebidang tikar lusuh sedang makan biskut dengan air dalam sabuah gelas plastik dan didepannya terdapat satu tudung saji plastik. Dia megangguk-angguk kepalanya mempelawa masuk. Susuk tubuhnya menampakkan tulang-tulang rusuknya dan perutnya yang sedikit nampak deformed.



Kepanasan 3 bulan, bercampur sumpahan-sumpahan dan pelbagai panggilan marah cair bila melihat sidicari berkeadaan begini. Aduhai...."jumpa juga di?" tegurnya, "ada,... semua ada, kecuali duit untuk bayaran kepejabat, 160 tu saya telah terguna, hak lain ada semua", katanya lagi.



"Tak apa, tak apa, saya hanya nak dokumen-dokumen tu saja, tak apa, duit tu gunalah, saya sedekahkan, dan mari ni pun nak ambil dokumen, saya akan selesaikanlah hak lain-lain tu., jangan susah". Kata kawan saya. "Mari ambik tengah hari esok", katanya. Saya mencelah,"Kita ambik hari ini, barang tu dimana?", "Ada..." katanya. Kami nak ambik hari itu juga, akan membawa dia kemana saja dokumen tu disimpan, kemudian akan menghantar dia balik kerumah itu.



Dia bersetuju dan dengan mengesot, kerana kudis dibahagian lututnya tidak mengizinkan dia berjalan betul, dia naik kekereta dan kami kestesen pertamanya. Beberapa belas kilometer. Setibanya kami distesen pertamanya ini, kelihatan kereta Datsunnya tersadai dibawah poch. "Lama dah tak jalan, rosak" katanya. Satelah semua dokumen diperolehi kami menghantarnya semula ketempat kami mengambilnya. Sesampainya kami kerumahnya, kawan saya menghulurkan note 50 ringgit dan kami menuju kekedai makan kerana hari ini tak makan lagi, jam sudah hampir 4 petang.



Satelah menghantar orang ini, kami berpakat untuk mendapatkan ubat bagi orang ini. Terasa pula kami bertanggung jawab membantu dia. Kami mencari ubat yang memakan belanja sekitar RM150, menghantar kerumahnya. Pesan kami, makan ubat itu, dua biji kapsul sekali telan, dengan madu yang kami bekalkan itu, dua kali sehari, sabelum makan. Kami nak orang itu sembuh dan kata saya, saya harap awak sihat, bekerja kuat semula. Dia hanya mengucapkan Insyaallah.



Diperjalanan pulang, perbualan kami disekitar orang-orang yang mempunyai beberapa 'stesen' orang tadi ada 4, distesen pertama ada 7 orang anak, kedua 3, ketiga 1, keempat belum ada. Suasananya agak tidak terurus.



Kawan saya menceritakan saorang kenalannya yang juga mempunyai beberapa stesen. Orang ini pula hebat ceritanya. Dari mulut siempunya diri, katanya dia menyediakan satu chek list bagi setiap orang isterinya. Dalam chek list itu bermula dari dinihari, bangun pukul berapa, sembahyang tahajjud, hajat, witir, solat fardhu subuh - sendirian atau berjamaah, solat asra', dhuha, sadaqah hari itu, dan, dan, ......... sehingga nak tidur malam berikutnya pula. Wah, hebat pula makhluk ini. Dan, katanya dia akan memeriksa chek list ini setiap kali dia berlabuh disetiap stesen itu. Saya juga mengenali personaliti ini tapi tidak pernah bersemuka berbual-bual dengannya. Sekali sekala kelihatan juga semasa berselisih kereta dengannya, dan nampak ok.

Kedua-duanya mempunyai beberapa tempat persinggahan. Yang pertama mengecewakan. Perlu perubahan total dan overhaul seluruhnya, menyebabkan kalau dia terus dalam keadaan itu, kehidupannya telah tidak meberi manafaat kepada dirinya, jauh kepada orang lain. Ramai orang yang tidak mengharapkan keujudannya lagi, mungkin termasuklah mereka yang berbin dan berbintinya sendiri, wal 'iyya zubillah.

Dimana silapnya. Yang pasti, sipertama ini telah tidak menghargai amanah dan harapan yang telah diberikan orang. Sipelesen menyerahkan kerja kawan saya itu (dan beberapa kerja lain lagi) dengan niat untuk menolongnya, dengan memperjudikan nama baik firmanya. Ini kerana sebarang kegagalan melaksanakan tugas yang diberikan dengan bayaran yang telah dbuat akan menjejaskan nama baik syarikatnya. Bukan itu saja, kiranya ada pelanggan yang tidak berpuas hati dan ujud keengkaran atau kecuaian melaksanakan kerja itu, akan menyebabkan tindakan undang-undang akan mendatangkan banyak implikasi negatif, sehingga memungkinkan penarikan atau penggantungan lesen.

Penting sungguh ISO diri


Thursday, August 28, 2008

No comments:

Post a Comment