Saturday, September 8, 2012

Haazihii Sabiili

Sudah beberapa hari saya tak berkesempatan menukilkan sesuatu dalam blog ini. Kesibukan tugas yang tak berkesudahan dari pagi hingga malam, berkebetulan saorang rakan dan anaknya berkunjung kerumah bagi menguruskan hal anaknya untuk melanjutkan pelajaran ketimur tengah.

Disamping kelayakan peperiksaan saorang calun, sudah menjadi amalan yang lumrah bagi pusat-pusat pengajian tinggi dirantau itu memerlukan 'tazkiah' atau sokongan daripada orang-orang yang mereka kenali dan diyakini kewibawaan mereka bagi menambahkan kebarangkalian sasaorang calun itu berjaya mendapat tempat disatu-satu pusat pengajian itu.

Kami menjejaki beberapa orang yang disebut boleh memberi 'sufaat' itu dengan mula-mula mengunjungi saorang ulama' yang berusia lebih 70 tahun dirumahnya. Kami disambut dengan penuh hurmat, dan salepas berpeluk-pelukan kami menyatakan hasrat kedatangan kepada beliau.

Begitu teruja beliau dan dengan panjang lebar beliau mengatakan keseluruhan calun yang mendapat sokongan beliau (lebih kurang 40 orang) mendapat keutamaan dan berjaya mendapat tempat dibeberapa universiti disana, berkebetulan mereka semuanya mendapat kelulusan yang baik diakhir pengajian, dan itu telah lama berlalu. Itu tahun sembilan belas tujuh puluhan hingga lapan puluhan, kini kebanyakan pegawai dan pemilih-pemilih dipusat pengajian tinggi disana sudah bertukar dan tidak mengenalinya lagi. Beliau pun mengemukakan 2 nama yang boleh didapatkan sokongan mereka.

Ulama' ini, salepas menghabiskan lebih 40 tahun dalam kerja-kerja dakwah dengan pergi keseluruh pelusuk Malaysia dan dunia (boleh dikatakan begitu), ia-itu dimana ada pelajar Malaysia, disitulah beliau sampai, kini memulakan pembinaan satu pusat tarbiah didepan rumahnya. Katanya, beliau rasa tak selesai tanggung jawabnya selagi beliau tak dapat mentarbiahkan penduduk kampungnya (qariahnya) sendiri, agar diqariahnya itu juga akan diturunkan barakah dari langit dan bumi oleh Allah. 

Kami kunjungi pula saorang lagi ulama' yang usianya agak lebih muda, dan nampaknya laluan hidupnya hampir sama dengan yang pertama. Beliau telah membelanjakan lebih 30 tahun usianya dalam masyarakat, memimpin dan mengajar dimerata-rata tempat, kini menumpukan kepada menghidupkan pusat tarbiahnya didepan rumahnya. Beliau juga baru hendak memulakan blognya dengan mencatat perjalanan hidupnya dengan pertolongan saorang menantunya, dengan tajuk Haazihi Sabiili. Katanya, beliau memulakan dengan mencakar-cakar dulu, apa saja yang terlintas, kemudian, satelah mendapat momentumnya, akan dari masa kesemasa mempertingkatkan mutu kandungan dan persembahannya.

Kata kedua-dua ulama' yang kami temui ini, apa yang beliau buat ini adalah asas bagi diteruskan oleh anak-anak mereka, agar mereka menjadi orang yang boleh menyumbangkan kebaikan kepada mereka dan masyarakat mereka dizaman mereka nanti.

Satelah sekian lama berbual, makan dan minum dirumahnya kami berjaya mendapatkan 'tazkiah'nya, yang pada awalnya beliau hendak menulisnya dengan tulisan tangannya, yang mana lebih 'personal', tetapi kemudiannya memutuskan untuk menaipnya kerana katanya telah lama tidak menulis.

Kami bergegas pula kerumah ulama' ketiga, dalam lingkungan lewat lima puluhan, masih mengendalikan sabuah pusat pengajian tinggi anjuran kerajaan negeri sebagai ketua disitu. Dengan penuh tawaddhu' beliau mengatakan beliau sendiri tidak tahu yang beliau termasuk dalam senarai mereka-mereka yang boleh memberikan 'shufaat' itu, namun, beliau dengan senang hati akan memberikannya dan meminta kami mengambilnya dipejabat beliau keesokan harinya.

Nampak gaya rasanya tidak terlalu lewat memasuki alam blogging , benarlah juga kata kawan saya yang hantar sms tu yang mengatakan tidak ada tua dalam memulakan apa-apa. Bukan apa, sekadar membandingkan laluan hidup ulama'ulama' itu dengan diri sendiri, mungkin kalau mereka telah memulakan penulisan beberapa tahun dulu, telah ada sesuatu yang dapat diterbitkan, mencatat laluan hidup yang dapat dijadikan pedoman anak cucu, menterjemahkan fikrah, kenyataan semasa beliau dan harapannya untuk diikuti oleh jenerasi mendatang, kini telah ada sesuatu yang boleh ditinggalkan.

Saya juga merasakan banyak perkara saya nak diselesaikan, yang kalau boleh, kalau saya tak berkesempatan melakukannya, ianya dilaksanakan oleh jenerasi saya demi kebaikan mereka dan ummah manusia seluruhnya. Pandai-pandailah pula mereka menyesuaikannya dizaman mereka. Tentunya tugas manusia bukan hanya untuk mencari makan sebagaimana satu parti politik mengajar pengikut mereka. Bila ditanya mengapa mereka berada dalam parti itu, walaupun mereka tahu dasarnya bertentangan dengan aqidah, dengan mudah mereka mengatakan, alaaah, nak cari makan. Saya megatakan, kalau hanya sekadar nak cari makan, lebih baik jadi katak. 

Blog ini akan saya jadikan perantaraan diantara kami. Maklum sajalah, dunia semakin hebat tuntutannya, manusia semakin kekurangan masa untuk bertemu muka, dan kelebihannya, kalau pun saya telah mati, tulisan ini akan tetap merupakan satu kaedah bagi menyampaikan apa yang hendak diperkatakan dan disampaikan kepada mereka.

Untuk hari ini, saya menyeru diri saya sendiri dan anak cucu saya, jadilah kita orang yang bermanafaat kepada Islam dizaman kita masing-masing. Itulah jalan kita, itulah jalan saya dan, saya pinjam tajuk blog yang akan dibuat oleh ulama' kawan saya itu, haazihi sabilii.


Saturday, August 23, 2008

No comments:

Post a Comment